/* ---Adding Jquery JavaScript Plugin--- */

Tuesday 17 January 2012

Pin It

Kesan Kekurangan Nutrisi Semasa Hamil Kepada Ibu dan Bayi




Ibu hamil sering diingatkan untuk mengambil diet seharian yang lengkap dengan zat, vitamin dan mineral penting untuk menyokong kesihatan ibu dan tumbesaran bayi sepanjang kehamilan. Tetapi apakah kesannya kepada ibu dan bayi jika ibu kekurangan nutrisi-nutrisi penting tersebut? 

Kajian menunjukkan kekurangan nutrisi semasa hamil boleh meningkatkan risiko untuk bayi lahir kurang matang atau kurang berat, bayi lahir cacat, masalah pernafasan semasa lahir atau masalah perkembangan dan tumbesaran. Bagi ibu pula, kekurangan nutrisi meningkatkan risiko untuk alahan (‘morning sickness’), sembelit, lemah badan, pedih ulu hati, kekejangan otot, anemia, ‘pre-eclampsia’, susah bersalin dan berisiko besar untuk bersalin melalui ‘Cesarean’ .

Kekurangan protein boleh menyebabkan kekurangan air ketuban dan darah serta merencatkan perkembangan rahim, plasenta (uri) dan perkembangan sel-sel badan bayi kerana protein adalah komponen utama dalam pembentukan sel. Kekurangan protein juga dikaitkan dengan peningkatan risiko ‘pre-eclampsia’. ‘Pre-eclampsia’ adalah masalah kesihatan di mana ibu hamil mengalami tekanan darah yang terlalu tinggi dan kehadiran protein di dalam air kencing. Terdapat pelbagai faktor yang membawa kepada pre-eclampsia tetapi penyelesaiannya hanyalah satu iaitu bersalin sama ada secara ‘induce’ atau ‘Cesarean’. Jika tidak, ibu dan bayi berdepan dengan risiko kematian. ‘Pre-eclampsia’ juga boleh terjadi akibat kekurangan asid lemak omega-3, vitamin D, kalsium, dan magnesium.

Sementara itu, kajian menunjukkan kes bayi lahir kurang matang atau lahir kurang berat berlaku akibat ibu kekurangan asid lemak omega-3, vitamin D, iodine dan zink. Kajian juga menunjukkan kekurangan asid lemak omega- 3 seperti DHA boleh menyebabkan masalah penglihatan dan saraf. Kekurangan zat besi boleh merencatkan penghasilan hemoglobin, meningkatkan risiko untuk ibu menghidap anemia dan mempengaruhi perkembangan mental bayi.

Kekurangan Vitamin B6 berkait rapat dengan masalah mual, muntah-muntah serta hilang selera makan yang biasa dialami oleh ibu mengandung. Kekurangan Vitamin D pula boleh merencatkan tumbesaran bayi, perkembangan fizikal bayi serta melemahkan sistem imuniti bayi.

Kekurangan Vitamin K boleh mengakibatkan pendarahan tidak terkawal semasa bersalin kerana vitamin K diperlukan untuk menghasilkan ‘prothrombin’ (faktor penting dalam pembekuan darah). Perkembangan tulang dan gigi bayi yang tidak sempurna dan lemah adalah kesan kekurangan kalsium dan magnesium.

Kekurangan idonine boleh menyebabkan kecacatan mental dan kerosakan otak serta dikaitkan dengan peningkatan risiko keguguran atau mati ketika lahir. Kekurangan asid folik boleh menyebabkan kecacatan saraf tunjang pada bayi manakala kekurangan zink sering dikaitkan dengan keguguran.

Jadi, pengambilan nutrisi lengkap semasa hamil tidak boleh dipandang ringan. Jika diet seharian tidak mampu membekalkan anda dan bayi dengan nutrisi selengkapnya, anda disarankan mengambil supplement/vitamin tambahan agar ruang-ruang kosong itu dapat diisi dengan sempurna. Ambillah supplement yang bahannya 100% semulajadi dan tidak menggunakan bahan pengawet agar anda dan bayi mendapat nutrisi yang terbaik.

0 comments:

Post a Comment